Wednesday, September 22, 2010

Pertarungan Sosial Muslimin Muda Di Malaysia

Malaysia mempunyai jumlah golongan belia (15-40 tahun) di Malaysia adalah seramai 10,761.2 juta atau 41.18 % daripada jumlah keseluruhan penduduk Negara ini,kebanyakannya ialah Melayu Islam. Ini Memperlihatkan suatu tanggapan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam barangkali mempunyai kekuatan dari segi kuantiti tenaga muda yang mampu berpotensi memacu pembangunan negara.Tetapi penilaian secara kualiti pula Indeks Belia Malaysia(IBM) telah ditubuhkan dan skor yang diperolehi pada tahun 2006 ialah 68.7% ini mencerminkan keadaan kualiti belia di Malaysia dalam keadaan yang baik,Namun perlu difahami penilaian tersebut bukan suatu keputusan yang perlu dicetak atau dibanggakan semata-mata. Apatah lagi,kebanyakan golongan muda khususnya Muslimin dipengaruhi unsur hooliganism, Hedonism dan kejahilan walaupun di kualiti mereka digunakan sebaiknya.Inilah pertarungan sebenar bagi kaum muslimin muda dalam menempatkan diri mereka kearah jalan yang sepatutnya.





Sememangnya dari perspektif Islam golongan muda sangat dihargai ALLAH Azza Wa Jalla,ini diterangkan dalam firmanNYA dalam Surah Al-Kahfi ayat 13 yang bermaksud :-





"Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah dan petunjuk".





Namun kualiti Muslimin Muda pada hari ini seolah-olah dipersiakan dengan budaya modenisme yang menggugat akidah dan keimanan mereka,dengan media memaparkan pelbagai isu dan penyakit sosial dalam kalangan muslimin muda. Penerbitan siri Belia dan Remaja pada masa kini seringkali memaparkan unsur-unsur hedonisme yang melampau, akibatnya ramai Muslimin Muda yang "mati" di dunia ini kerana tewas dalam pertarungan sosial yang berlaku. Tidak Dinafikan media ada peranan dalam masyarakat, Namun peranan itu harus digunakan dalam bentuk ilmu bukannya hiburan yang menyebabkan ketewasan jiwa.Dan menyebabkan Muslimin akan bertemankan arak,judi dan sebagainya Bersesuaian dengan Firman ALLAH yang bermaksud :- Baca Lagi...




Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya. (Al-Maidah: 90)





Asy Syahid Hassan AL Banna pernah menerangkan dalam risalah beliau yang bertajuk Dakwah Kita "Pengalaman dan sejarah telah mengajar kita bahawa penyakit bangsa Timur ini wujud dalam pelbagai keadaan dan telah menular ke setiap sudut hayat mereka. Dalam sudut politik bangsa ini telah dijajah oleh musuhnya. Dalam masa yang sama masyarakatnya pula hidup dalam keadaan berpuak, bermusuh dan berpecah. Dalam sudut ekonomi, amalan riba berleluasa di semua lapisan dan syarikat asing menguasai sumber kekayaan mereka.



Dalam sudut pemikiran, timbul kekeliruan, kemurtadan dan amalan menolak tuhan yang boleh menggugat akidah mereka dan menghancurkan nilai-nilai baik dalam diri masyarakat mereka. Dalam sudut sosial pula, wujud budaya pergaulan bebas dan keruntuhan akhlak serta tidak mahu terikat dengan mana-mana budaya baik yang mereka warisi daripada generasi lama. Sifat terikut-ikut dengan budaya barat juga menular dalam kehidupan harian mereka ibarat bisa ular yang meracuni darah dan mencemar kesucian hidup mereka. Begitu juga dengan undang-undang ciptaan manusia yang tidak mampu menakutkan penjenayah dan tidak mampu mendidik serta tidak mampu mengembalikan hak daripada orang yang zalim. Mereka mengamalkan undang-undang yang tidak mampu menandingi undang-undang langit yang telah digubal oleh Tuhan yang mencipta manusia, Raja segala-galanya dan Pemilik jiwa manusia.



Begitu juga wujud kepincangan dalam dasar pelajaran dan polisi pendidikan hingga menghalang generasi baru; bakal pemimpin dan pendokong kebangkitan masa depan daripada menerima bimbingan yang betul. Dalam sudut kejiwaan, bangsa ini ditimpa sifat-sifat lemah semangat, malas, pengecut, rendah diri, bacul, tamak dan pentingkan diri sendiri yang menyebabkan mereka tidak rela untuk berkorban. Mereka hanya berdiam diri tanpa mampu memberikan sebarang pengorbanan. Akhirnya bangsa ini terpinggir daripada semangat kepahlawanan mereka kepada hanya mahu berseronok dan berhibur ".Penyakit yang dinyatakan Asy Syahid Hassan Al Banna sekiranya wujud dalam jiwa muslimin muda kita sudah semestinya akan memperlihatkan tanda-tanda ketewasan dalam pertarungan sosial mereka.





Bagaimana Untuk Memenangi Pertarungan tersebut?





Dalam hal ini "senjata" yang diperlukan untuk memenangi pertarungan bagi muslimin muda ialah Muslimin harus memahami bahawa Islam bukan sekadar dianuti,tetapi untuk difahami,dihayati dan diperjuangkan.Untuk itu Pemantapan akidah adalah sangat dititikberatkan kepada muslimin muda bagi memantapkan diri menghadapi pelbagai jenis pertarungan Ummat.Budaya bebas juga harus dielakkan, keseronokan yang mempesona dan hiburan yang terdapat di mana-mana, di jalanan, di majlis, di kawasan percutian dan di kebun bunga. Semua budaya ini bertentangan dengan ajaran Islam yang meminta penganutnya agar berjiwa murni, mempunyai harga diri, tekun dan tidak terbabit dengan amalan yang tidak berfaedah yang mapu menyebabkan ketewasan.





Ukhwah dan Persaudaraan harus dipupuk dalam diri,Firman Allah Azza Wa Jalla





Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. (Aali Imran: 103)





Nilai persaudaraan dalam Islam ini amat difahami oleh umat Islam pertama dahulu (semoga Allah meredai mereka). Keyakinan mereka dengan agama Allah ini telah menyemai nilai kasih sayang yang sejati dan semangat persaudaraan yang suci dalam diri mereka.Akhirnya membenihkan kecintaan pada Allah dan Rasul serta para Sahabat, juga Saudara Seakidah. Keimanan yang teguh perlu dibina bagi meledakkan suatu potensi dalam diri muslimin iaitu takwa supaya mampu untuk menangkis segala godaan dan mencegah penyakit wahan dalam diri manusia.





Secara keseluruhan,Muslimin Muda pada hari ini sememangnya dimanjakan dengan segala kemewahan yang dikurniakan namun,tanpa disedari ia menimbulkan penyakit wahan yang telah diterangkan dalam sebuah hadis





"Daripada Tsauban r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi s.a.w. menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’.”Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu hai Rasulullah?” Nabi kita menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati.”(Riwayat Abu Daud)





Semoga Muslimin Muda di negara ini mehamami akan pertarungan yang mereka sedang hadapi serta bersedia menghadapinya.

Wednesday, July 7, 2010

Forum Generasi Salahuddin






Sultan Salahuddin Al-Ayyubi merupakan antara nama-nama besar dan terkemuka yang terakam dalam sejarah Islam. Kejayaannya membebaskan al-Quds dari cengakaman tentera salibiyah pada tarikh keramat (4 Julai 1187) merupakan satu karamah yang tidak pernah diberikan oleh Allah kepada sesiapa pun selepas Saidina Umar al-Khattab sehingga ke hari ini. Selepas zaman kejatuhan khalifah dan peristiwa Naqbah Palestin 1948, ummat Islam terus menanti kehadiran Salahuddin yang baharu bagi merampas kembali hak Ummat Islam daripada Zionis Yahudi laknatullah dan para sekutu mereka. Namun, apakah Salahuddin baharu ini bakal muncul secara tiba-tiba? Dan apakah hakikat sebenar kemunculan Salahuddin dan generasinya yang mampu mempamerkan kekuatan luar biasa sehingga berjaya mengalahkan pakatan tentera Salib di Jerusalem. Malam Apresiasi Salahuddin merupakan suatu wadah bagi menggerakkan kesedaran ummat tentang faktor dan landasan sebenar yang membentuk generasi Salahuddin;- dari pengaruh intelektual-spiritual Imam al-Ghazali, diteruskan oleh Syeikh Abdul Qadir Jailani dengan pengenalan sistem madrasah dan tarbiyah yang sistematik.

Monday, June 28, 2010

PKPIM telah menghantar 3 orang wakil iaitu Muhammad Faisal Abdul Aziz(Presiden),Abu Qasim Nur Azmi(Naib Presiden Antarabangsa) dan Wan Mohamad Wasif Wan Mohamad(Exco Pendidikan dan Penyelidikan) untuk menghadiri mesyuarat International Islamic Federation of Student Organizations (IIFSO) yang berlangsung di Hotel Mercure,Ancol Jakarta,Indonesia pada 4-6 Jun 2010.
IIFSO yang ditubuhkan semenjak tahun 1969 ini berpusat di Kuwait dan menghimpunkan 67 organisasi pelajar Islam dari 53 buah negara di seluruh dunia.Suatu ketika dahulu,IIFSO dikenali dengan keaktifannya menerbitkan buku para pemikir Islam seperti Abul Ala Maududi, Sayyid Qutb, Muhammad Qutb ,Abul Hasan Ali Nadwi.Antara tokoh yang pernah bergiat aktif dengan IIFSO ini ialah Ahmad Totonji,Nurcholish Madjid, Anwar Ibrahim,Mustaffa Kamil Ayub dan ramai lagi.
Antara agenda dalam mesyurat IIFSO kali ini juga ialah pemilihan baru majlis syura dan jawatankuasa bagi sesi 2010,pembentangan laporan IIFSO,perbahasan perwakilan negara,forum belia,bengkel latihan pembangunan manusia ,persembahan budaya dan ziarah rekreasi.
Dalam program ini juga perwakilan PKPIM mengambil kesempatan untuk memperluaskan jaringan antarabangsa dengan organisasi pelajar Islam luar negara seperti Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia(KAMMI),Pelajar Islam Indonesia(PII)Himpunan Mahasiswa Islam(HMI)(Indonesia),Chatra Sibir(Bangladesh) dan organisasi pelajar Islam dari Singapura,Brunei,Turki,Algeria,Maghribi,Burkina Faso,Togo,Afrika Selatan,Bangladesh,Pakistan,India,Jerman,Jepun dan lain-lain.
Sepanjang kunjungan ke Indonesia ini juga ,wakil PKPIM sempat mengadakan ziarah ke pejabat Pelajar Islam Indonesia(PII),kunjung hormat Direktor Pendidikan Islam Departemen Agama Indonesia, Dr Imam Tholkhah dan menziarahi rumah Zaid Makarma,mantan Ketua Umum PII dan Setiausaha Agung Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara(PEPIAT) di Bogor.

Wednesday, April 14, 2010

PERNYATAAN SIKAP TERHADAP ISU JENAYAH QADHAF

لقد أرسلنا رسلنا بالبيّنات وأنزلنا معهم الكتاب والميزان ليقوم الناس بالقسط وأنزلنا الحديد فيه بأس شديد ومنافع للناس وليعلم الله من ينصره ورسله بالغيب إن الله قوى عزيز


Sungguh, Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan bukti-bukti yang nyata dan Kami turunkan bersama mereka kitab dan neraca (keadilan) agar manusia dapat berlaku adil. Dan Kami menciptakan besi yang mempunyai kekuatan hebat dan banyak manfaat bagi manusia, dan agar Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)-Nya dan rasul-rasul-Nya walaupun (Allah) tidak dilihatnya. Sesunggguhnya Allah Maha Kuat, Maha Perkasa.


Al-Hadid:25


Petikan ayat 20 surah al-Hadid di atas seharusnya menyedarkan kita bahawa sesungguhnya keadilan (al-qist) adalah rumusan misi seluruh agama samawi. Demikianlah, Islam yang memang terumpun dalam warga agama-agama wahyu meletakkan keadilan di puncak hiraki sistem nilainya dan sekaligus menjadikannya salah satu maqasid (matlamat) utamanya. Selaras dengan itu umat Islam dituntut menegakkan keadilan (iqamat al-`adl) sebagaimana yang tersurat dan tersirat dalam syari`at. Justeru, keadilan yang hakiki dan mutlak hanya ada dalam syari`at, hukum-hakam Ilahi yang merupakan penjelmaan keadilan-Nya (`adlu 'Llah).

Komitmen keislaman hanya dapat menepati erti hakikinya apabila maqasidnya terlaksana. Maqasid al-shari`ah dalam erti objektif, tujuan dan matlamat syari`at yang menjadi tema besar wacana usuli meliputi keperluan dan hak asasi yang mesti dipelihara dan dijamin demi martabat, maslahah dan survival kemanusiaan. Antara yang terliput dalam cakupan maqasid tersebut ialah jaminan perlindungan terhadap maruah dan kehormatan diri. Dalam pidato haji perpisahan yang merumuskan sari utama misi kerasulanya, Rasulullah s.`a.w. menyebut maruah (al-a`rad) sebagai suatu yang suci, suatu yang mesti dihormati tanpa kompromi. Memang demikianlah hakikatnya, Islam melindungi maruah dan kehormatan diri umat menerusi hukum-hakamnya yang jelas dan tegas, cukup untuk mencegah kesewenang-wenangan mencemarkan maruah seseorang.

Dalam kaitan inilah motif hukum qadhaf dalam syari`at Islam itu harus difahami. Mereka yang berleluasa menabur fitnah, melemparkan tuduhan keji (zina/liwat) tanpa pembuktian secara syar`i (menghadirkan empat orang saksi yang adil dan berwibawa) seharusnya menginsafi betapa buruknya perilaku mereka, dan betapa beratnya kesalahan jenayah qadhaf yang membawa hukuman deraan fizikal lapan puluh kali sebatan (ثمانين جلدة), di samping sanksi sosial dan moral: hilang kelayakan menjadi saksi (tentang apa pun dan sampai bila pun), dan seterusnya terlempar ke dalam kelompok orang-orang fasiq (الفاسقون) sebagaimana yang disebut dalam surah al-Nur:4-5. Demikianlah ketetapan hukum syari`at yang tidak boleh ditawar-tawar lagi. Cara pembuktiannya hanya satu: hadirkan empat saksi, dan tidak lain daripada itu. Dalam kes seperti ini pembuktian dengan cara bersumpah sama sekali tidak relevan.

Kedaulatan syari`at adalah asas pembangunan umat dan masyarakat yang murni, bermaruah dan berintegriti. Masyarakat Islam dengan ciri-cirinya yang sedemikian itu tidak dapat menerima budaya fitnah, ghibah dan gosip yang membawa akibat fatal: keruntuhan martabat dan maruah umat keseluruhannya. Para pelaku dan penabur fitnah sebenarnya tidak layak hidup di tengah umat yang bermaruah dan berbudaya saling hormat. Selaras dengan itu seluruh umat Islam yang setia kepada idealisme masyarakat bersyari`at harus menolak gejala fusuq (kefasikan) yang menjelma dalam bentuk fitnah terhadap seseorang yang berintegriti moral. Dalam kaitan ini YB. Dato' Seri Anwar Ibrahim, atau siapa sahaja yang dilempari tuduhan (qadhaf) tanpa pembuktian secara syar`i berhak membela diri dan menuntut keadilan berasaskan hukum syara`: penuduh yang gagal menghadirkan empat orang saksi harus didakwa di bawah hukum qadhaf. Demi menghormati kedaulatan Islam, tuduhan yang tidak memenuhi persyaratan syara` seharusnya digugurkan. Dalam hubungan ini fatwa para ulama dunia yang berautoriti besar mengenai isu ini seperti al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan al-Shaykh Dr. Wahbah al-Zuhayli (kedua-duanya adalah penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah dari kerajaan Malaysia) serta yang lain-lainnya harus dihormati dan didukung tanpa ragu. Fatwa-fatwa mereka cukup jelas, tegas, kuat, berwibawa dan meyakinkan.

Sesungguhnya kembali kepada syari`at adalah satu-satunya jalan keluar yang adil dan selamat. Demikianlah petunjuk Ilahi yang terungkap dalam kitab suci-Nya, "… Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Al-Nisa':59). Apakah yang sebenarnya dicari oleh pendakwa dan penuduh? Andainya yang dicari adalah keadilan, bukankah ia wujud dalam hukum syari`at? Apakah ada hukum lain yang lebih adil daripada hukum Allah? Apabila seseorang mengatakan "Aku ridha dengan Allah sebagai Tuhan……." (رضيت بالله رباً...) bererti ia rela menerima hukum-hakam-Nya. Jika benar demikian, mereka harus membuktikan kejujuran menepati ikrar dan pengakuan tersebut. Ternyata kesediaan rujuk (kembali) kepada Allah (hukum-hakam-Nya) adalah ujian iman. Hanya yang benar-benar beriman (kepada Allah dan Hari Akhirat) sahaja yang akan dengan senang dan rela menerima hukum Allah. Demikianlah makna tersirat di balik kalimat-kalimat,"…, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian." (إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر)

Terlepas dari maksud mencampuri konflik politik antara parti, dengan niat murni semata-mata demi amanatu 'l-balagh serta tanggungjawab dakwah dan tazkirah, kita menyeru seluruh umat dan rakyat agar berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, yang dalam hal ini pembuktiannya harus berdasarkan hukum syara`. Pembuktian yang tidak dilakukan secara syara` adalah tidak sah. Dalam kaitan ini seluruh rakyat yang menginsafi hakikat kesucian maruah dan ketinggian nilai kehormatan diri harus sedia memberikan sokongan dan dukungan kepada perjuangan suci mempertahankan maruah, kehormatan dan nama baik dari pencemaran fitnah. Sementara itu kita juga ingin mengingatkan bahawa dalam melaksanakan proses perundangan secara Islam, yang seharusnya dicari adalah kebenaran, keadilan dan keredhaan Tuhan, bukan loophole dalam teks undang-undang untuk dieksploitasi membela kezaliman.

Demi tanggungjawab membina umat dan masyarakat bermaruah yang saling hormat dan saling percaya, setiap warga harus memiliki keberanian bersikap, menolak budaya fasiq aib mengaib dan fitnah memfitnah. Masyarakat Islam bukan sebuah ladang fitnah, dan bukan juga sebuah pasar gosip. Al-Qur'an telah memberikan petunjuk jelas bagaimana menyikapi gejala fasiq seperti itu, iaitu dengan menolaknya secara jelas, tegas dan tanpa basa-basi, "… ini dusta yang nyata!" ,(...هذا إفك مبين)"…ini pembohongan besar!" .(هذا بهتان عظيم) Komitmen terhadap misi amar makruf nahi munkar menuntut setiap orang bertindak melawan gerakan penyebaran kebejatan (al-fahishah). Mereka yang terlibat dengan kegiatan jahat menabur fitnah dan menyebarkan berita bohong di kalangan umat seharusnya menyedari dan menginsafi amaran keras pembalasan Tuhan sebagaimana ditegaskan dalam kitab suci-Nya:



إنَ الذين جاءوبالإفك عصبة منكم لاتحسبوه شرًا لكم بل هو خيرلكم لكل امرئ منهم

مااكتسب من الإثم والذى تولَى كبره منهم له عذاب عظيم.

Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu (juga). Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu. Setiap orang dari mereka akan mendapat balasan dari dosa yang diperbuatnya. Dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar (dari dosa yang diperbuatnya), dia mendapat azab yang besar (pula).


Al-Nur:11

إنَ الذين يحبّون أن تشيع الفاحشة فى الذين آمنوا لهم عذاب أليم فى الدنيا والأخرة والله يعلم

وأنتم لاتعلمون



Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar di kalangan orang-orang yang Beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.



Al-Nur:19



Demikianlah kerasnya amaran pembalasan Tuhan kepada perancang fitnah dan penyebar berita bohong. Malah sekadar "…ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar…" sudah cukup untuk membawa akibat ditimpa azab yang pedih dua kali, di dunia sekarang dan di akhirat nanti. Masing-masing akan merasakan kepedihan azab Tuhan mengikut kadar peranan yang dimainkan dalam kegiatan jahat tersebut.

Masyarakat Melayu-Islam adalah masyarakat yang bersusila dan beradab. Manusia unggul dalam pandangan sarwa (worldview) Melayu diungkapkan dengan kata "orang budiman", ungkapan yang melambangkan kesempurnaan watak manusia cendekia dan berakhlak mulia. Melayu yang hidupnya dikandung adat adalah bangsa yang sentiasa mengawal perilakunya dengan nilai dan norma agama dan budaya. Kesetiaan terhadap nilai-nilai itulah yang membentuk etos bangsa yang tersirat di balik kata "pantang Melayu", ungkapan yang merujuk sikap ketidakrelaan melakukan atau diperlakukan di luar batas nilai-nilai budayanya. Dalam kaitan ini perlu diingat bahawa antara pantang Melayu paling besar ialah mengaib atau diaibkan. Demikianlah sebagaimana yang dinyatakan secara eksplisit dalam dialog Seri Teri Buana - Demang Lebar Daun. Dialog yang disebut "wa`ad" oleh Tun Seri Lanang itu adalah sebuah dokumen budaya yang dimaknai sebagai kontrak sosial Melayu antara penguasa dan rakyat. Seri Teri Buana yang menyimbolkan penguasa Melayu menyetujui tuntutan Demang Lebar Daun yang bertindak sebagai jurubicara rakyat, agar rakyat Melayu walau apa pun kesalahannya, "jangan ia difadhihatkan dan dinista dengan kata yang jahat-jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jikalau patut pada hukum syar`i."

Memang kata-kata tersebut bukan teks suci keagamaan, tetapi ia tetap mempunyai makna dan significance kebudayaan yang istimewa. Justeru ia adalah pernyataan kesedaran Melayu tentang maruah dan karamah insaniah; bahawa manusia (Melayu) sekecil mana pun harus dihormati dan tidak boleh diaibkan. Sejarah Melayu (Sulalat al-Salatin) adalah karya agung yang mengungkapkan hikmah (wisdom) tradisi kepujanggaan bangsa tentang erti keluhuran etika sehingga "…segala raja-raja Melayu tiada pernah memberi `aib pada segala hamba Melayu, …". Dengan gaya dan daya kepengarangannya yang istimewa Tun Seri Lanang menyuarakan ketajaman firasat dan sekaligus amaran, "Jikalau ada seorang raja memberi `aib itu `alamat negeri akan dibinasakan Allah Subhanahu wa Ta`ala." Demikianlah teks sebuah karya dari khazanah kepujanggaan bangsa yang mengabadikan suara hati dan akal budi Melayu sebagai bangsa yang memiliki kehormatan dan harga diri, yang demi maruah sanggup menderhaka apabila di`aibkan. Kontrak sosial Melayu memberikan isyarat jelas bahawa setia Melayu adalah setia bersyarat, sebagaimana derhakanya juga adalah derhaka bersebab. Setia Melayu yang tanpa syarat hanya kepada syari`at, rela menerima sebarang keputusan dan tindakan "…jikalau patut pada hukum syar`i."

Demi menghindari krisis yang diungkapkan oleh Tun Seri Lanang dengan kata "binasa" itu, jangan siapa pun melanggar pantang Melayu, dan jangan siapa pun menolak syari`at. Bangsa ini jangan diajar menjadi liar, tetapi kembalikanlah ke akar agama dan budayanya.

Sekretariat Bersama

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM),

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).



Kajang: 11 Rabiulakhir 1431 / 27 Mac 2010

Wednesday, March 10, 2010


Forum Mahasiswa Menggugat anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) akan diadakan pada 11 Mac 2010/ 25 Rabiulawwal 1431H (Khamis) di Dewan Kuliah F,Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya pukul 8 malam . Antara Panelis bagi forum malam ini ialah YB. Datuk Saifudin Abdullah (Timbalan Menteri KPT), Professor Dr. Redzuan Othman (Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial ), Professor Dato Mohd Abu Bakar (Penulis buku Mahasiswa Menggugat serta Saudara Muhammad Faisal Abdul Aziz. Semua dijemput hadir..

Wednesday, March 3, 2010

Makan malam bersama Presiden MCA



Pada 2 Mac 2010 yang lalu saya bersama Tuan Presiden PKPIM mengikuti makan malam yang dianjurkan oleh MCA. MCA telah melakukan satu anjakan pradigma apabila sekarang ini sudah mula mengamalkan dasar buka pintu kepada NGO. Ya, mungkin inilah dinamakan partnership in nation building dimana Sdr. Anwar Ibrahim sendiri sudah amalkanya sejak 30 tahun yang lalu. Kami sempat beramah mesra dengan Presiden Ong Tee Kiat pada majlis makan malam tersebut

Monday, November 2, 2009

Monday, 02 November 2009 13:24


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim minggu lepas yang menyatakan bahawa sistem pendidikan negara perlu disusun semula termasuk melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai kerana sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu.

Dalam meniti dasawarsa ke enam usia Malaysia, sudah tiba masanya dasar pengasingan aliran pendidikan yang diwarisi semenjak zaman penjajah dikaji semula kerelevanannya memandangkan usaha untuk membentuk kepelbagaian menjadi kesatuan masih gagal dilaksanakan. Maka, PKPIM menyokong penuh sistem pendidikan satu aliran yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sebagai wadah perpaduan yang berkesan di kalangan pelajar.

Walau bagaimanapun PKPIM berpendapat perlunya penyusunan dan penstrukturan semula dasar, unsur, dan intipati sekolah satu aliran bagi memastikan rencah yang diimplimentasi benar-benar mampu membawa agenda perpaduan nasional. Lantaran itu, pihak PKPIM mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk menganjurkan siri perbincangan dan persidangan yang melibatkan semua pihak bagi membentuk konsep sekolah satu aliran yang jelas dan mampu menjadi cerminan kepada ketiga-tiga identiti bangsa dengan menyatupadukan identiti dan kebudayaan rakyat pelbagai kaum.

Dalam pada itu, PKPIM juga menegaskan bahawa semua sekolah dan guru di seluruh peringkat harus berperanan sebagai agen yang membentuk perpaduan pemikiran dan sosial para pelajar dengan memberi penekanan terhadap subjek-subjek yang berunsur kenegaraan, warisan dan sejarah kepelbagaian kaum, dan seumpama denganya. Berdasarkan situasi semasa, penekanan terlalu diberikan kepada subkek-subjek yang bersifat teknikal sehingga pelajar kurang didedahkan dengan penghayatan perpaduan dan kenegaraan Malaysia. Lebih malang lagi, subjek yang bersifat sains kemanusiaan juga hanya diajar sebagai fakta untuk peperiksaan tetapi gagal disusuli dengan penghayatan ruh di sebalik makna pendidikan tersebut.

Sebagai contoh subjek Bahasa Melayu hanya sekadar diajar untuk memenuhi silibus pendidikan tetapi tidak ditekankan peranan dan penghayatannya sebagai bahasa dan alat perpaduan pelbagai kaum. Jika situasi ini berterusan kesepaduan tidak akan tercapai walaupun dasar pendidikan satu aliran telah dilaksanakan.

Maka, bagi membentuk kesepaduan masyarakat di kalangan para pelajar, dasar pendidikan satu aliran yang berteraskan satu konsep yang jelas adalah merupakan medan terbaik yang harus dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Walau bagaimanapun, peranan besar yang diberikan kepada sekolah dan guru untuk menyatupadukan para pelajar harus digalas dengan sebaik-baiknya memandangakan pihak guru adalah merupakan kayu ukur sebenar kejayaan sesuatu dasar pendidikan.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga berpendapat isu perpaduan tidak seharusnya ditekankan dalam ruang lingkup sekolah semata-mata tetapi harus melibatkan generasi muda dan masyarakat Malaysia secara menyeluruh melalui penekanan dan penegasan terhadap dasar kebangsaan di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.

Sekretariat PKPIM Pusat