Tuesday, August 12, 2008

Pemerkasaan Bahasa Melayu Dalam Pembinaan Tamadun : Apa Peranan Mahasiswa?

Pengertian tamadun jika dilihat dari sudut pandangan dunia menjurus kepada kejayaan sesebuah bangsa atau negara itu. Kejayaan yang dimaksudkan ialah dari segi ekonominya, sosialnya dan pemerintahannya.
Pembangunan sesebuah tamadun itu lebih terkait dengan pembudayaan budaya ilmu dalam kehidupan pemerintahan mahupun rakyatnya. Tamadun bangsa yang paling awal wujud ialah tamadun Rom. Suatu ketika dahulu Rom dianggap sebagai sebuah bangsa yang bertamadun iaitu ia berjaya mewujudkan satu sistem pemerintahan yang sistematik dan komprehensif. Jika dilihat dari segi keadaan sosialnya, Rom jauh lebih kehadapan berbanding bangsa-bangsa lain yang wujud ketika itu.
Kejayaan yang dikecapi oleh Rom ini sedikit sebanyak membawa kepada perasaan iri hati oleh bangsa lain terutama kaum biadab yang terdiri daripada suku bangsa Jerman yang pada suatu ketika dipimpin oleh Attila. Kaum ini telah berjaya mengganas dan menakluk Imperaturia Rom sebelum abad ke 6 Masihi. Tetapi apa yang berlaku selepas itu, bangsa ini telah kalah dan terpaksa menerima kembali sistem pentadbiran Rom. Ini telah diakui sendiri oleh Ibn Khaldun di mana sesebuah bangsa atau kaum yang hanya ditunjangi oleh kekuatan semata-mata tidak mampu bertahan lama. Antara contoh lain yang boleh dikemukakan ialah apabila bangsa Mongolia yang dipimpin oleh Genghis Khan yang berjaya menakluk China dan sebahagian negara Islam telah tertewas dengan sistem dan budaya negara atau bangsa yang ditakluki. Sebagai contoh bangsa Mongolia yang berjaya menawan negara China terpaksa mengguna pakai sistem dan budaya hidup negara yang ditawan. Ini menunjukkan kelemahan sesuatu bangsa yang hanya mampu untuk menakluk dengan kekuataan tetapi tidak mampu mentadbir negara tersebut dengan acuan sendiri. Disebabkan itu, Professor Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud menggariskan bahawa untuk sesuatu bangsa itu berjaya menjadi sebuah bangsa yang bertamadun, bangsa itu harus menguasai budaya ilmu. Tanpa penguasaan ilmu sesuatu bangsa tersebut tidak mampu berdiri sendiri dan berjaya.
Bangsa Melayu
Bangsa Melayu suatu ketika dahulu terkenal sebagai salah satu kuasa besar dunia (sebelum kejatuhan kerajaan Melaka pada 1511) di mana ketika zaman kegemilangan Melaka pedagang-pedagang dari barat dan timur mengakui Melaka sebagai sebuah pelabuhan yang menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pedagang. Tetapi zaman kegemilangan bangsa Melayu hanya berakhir di situ, penjajahan oleh pihak Portugis dan perebutan kuasa di kalangan pembesar Melayu membantutkan pembinaan tamadun Melayu.
Ya, jika pembinaan tamadun Melayu menjadi realiti, kawasan Asia Tenggara yang terkenal dengan kawasan “Malay Archipelago” ini mampu menjadi suatu kuasa besar dunia. Penjajah yang datang menjajah Tanah Melayu telah berjaya merubah pemikiran orang Melayu dari menjadi bangsa yang bercita-cita tinggi kepada rakyat yang hanya menjadi petani. Sejarah telah membuktikan bahawa kerajaan British telah mengamalkan dasar pecah dan perintah. Kaum Cina diberikan tempat-tempat di kawasan bandar, kaum India bekerja di ladang-ladang dan kaum Melayu bekerja sebagai petani. Walaupun negara kita telah Merdeka lebih 50 tahun, kaum Melayu masih gagal menguasai ekonomi negara ini. Tambahan desakan-desakan yang dilakukan oleh kaum lain dengan pelbagai permintaan menyebabkan kaum Melayu tersepit di negara sendiri.
Kita mengambil contoh Republik Singapura iaitu jiran terdekat kita, masyarakat Melayunya sudah dipinggirkan hampir 40 tahun selepas kemerdekaan. Perkara ini berlaku sebelum zaman kemerdekaan Singapura lagi dan ia berlanjutan hingga ke zaman sekarang. Masyarakat Melayu Singapura telah dipinggirkan dari segi sosioekonomi, pelajaran dan politik. Jurang ekonomi di Singapura semakin ketara iaitu pada tahun 1957 sebanyak 2.3 % yang meningkat kepada 4.1 % pada 1970 dan 9.6 % pada tahun 1980. Pada tahun 1980-an, masyarakat Cina terus menikmati mobiliti pekerjaan yang lebih tinggi berbanding kaum lain. Ini sekaligus menunjukkan ketidakstabilan antara kaum yang wujud di Singapura.
Kita lihat pula senario politik yang berlaku di negara lain seperti Thailand di mana masyarakat Melayu Islam di selatan negara tersebut dituduh pengganas oleh pihak kerajaan. Tindakan ganas dan zalim sering dikenakan terhadap masyarakat Islam di selatan Thai. Perkara yang sama turut berlaku terhadap masyarakat Melayu Islam di Mindanao. Ini jelas memperlihatkan bangsa Melayu ditekan dan terus ditekan oleh bangsa lain dari semua aspek.

Bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun
Bahasa Melayu dikenali sebagai Lingua Franca di peringkat dunia. Malangnya di negara sendiri bahasa Melayu seolah-olah dipinggirkan. Perlu diketahui bahawa Bahasa Melayu ini adalah bahasa pengantar utama di dalam negara kita dan ia juga memainkan peranan sebagai alat perpaduan antara semua kaum . Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan Malaysia. Jelas menunjukkan Bahasa Melayu adalah asas penting kepada keperibadian atau jatidiri kebangsaan Malaysia.
Keadaan yang berlaku hari ini jauh menyimpang dari tujuan asal pengwujudan sistem pendidikan negara yang berasaskan Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib. Perkara yang menjadi kerisauan pejuang bahasa pada tahun 1995 dahulu mengenai kemungkinan wujudnya dua aliran pendidikan diperingkat tinggi iaitu aliran Melayu dan aliran Inggeris telah pun berlaku pada hari ini dimana kebanyakkan universiti awam di negara ini telah mengambil pendekatan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajian jurusan sains. Saban hari, Bahasa Melayu dilihat semakin terancam. Sektor-sektor swasta di negara ini juga lebih menitikberatkan penguasaan Bahasa Inggeris berbanding Bahasa Melayu. Kononnya Bahasa Melayu ini tidak kompetitif dalam menjadikan Malaysia maju pada masa mendatang.
Ini adalah mentaliti orang tidak ada pendirian dan cepat berputus asa dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Kita mengambil contoh negara Jepun yang bangga dengan bahasanya sendiri dan menggunkan bahasanya untuk menjadi bangsa yang maju. Korea adalah salah satu contoh yang sama perihalnya dengan Jepun. Kita teliti pula negara-negara yang menggunakan bahasa selain bahasa ibundanya, Filipina contohnya, tidak berjaya untuk menjadi negara maju walaupun bahasa pengantarnya Bahasa Inggeris. Perkara yang sama turut berlaku di India, walaupun India sekarang menjadi gerbang teknologi maklumat tetapi teknologi yang digunakan adalah teknologi yang dibawa dari Amerika Syarikat.
Tindakan kerajaan yang ingin menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan serantau telah mengakibatkan Bahasa Melayu dipinggirkan dan kemungkinan besar dalam tempoh 10-15 tahun lagi Bahasa Melayu akan menjadi sepertimana Bahasa Jawi dahulu.

Peranan mahasiswa
Apabila bercakap mengenai pembinaan tamadun, masyarakat akan memandang mahasiswa sebagai organ utama dalam merealisasikan tamadun sesebuah bangsa itu.
Untuk merealisasikan pembinaan tamadun Melayu ini, mahasiswa harus memainkan peranan dalam memperjuangkan soal kebangkitan bahasa ibunda iaitu kebangkitan Bahasa Melayu.
Mengapa kita sebagai mahasiswa perlu mengambil peranan dalam memperjuangkan isu bahasa ini? Antara faktor-faktor mahasiswa harus melaksanakan tanggungjawab ini ialah:
• Pembinaan jatidiri sesuatu bangsa itu harus dimulai dengan mencintai bahasa ibundanya
• Kemajuan sesuatu bangsa itu bukannya bergantung kepada bahasa asing.
• Masyarakat akan mudah terpengaruh dengan budaya-budaya negatif yang datang dari barat.
• Harus melihat kembali bagaimana kejayaan empayar Islam suatu ketika dahulu yang telah menjadi tamadun yang gemilang melangkaui tamadun sedia ada dan sebelumnya.
• Kebimbangan penggunaan Bahasa Melayu ini akan terhakis sedikit demi sedikit hingga kepada pemansuhan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar seperti yang berlaku kepada bahasa jawi.

Tanggungjawab mahasiswa:

• Memupuk kesedaran di kalangan mahasiswa tentang peri pentingnya mencintai dan menghargai bahasa ibunda.
• Mendesak pihak kerajaan untuk menukar kembali penggunaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik kepada bahasa Melayu.
• Mengadakan perbincangan yang secara ulang tetap di antara tenaga pengajar, pelajar dan pentadbir universisti serta pihak swasta.
• Mendesak penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dengan tegas.
• Meningkatkan penulisan dan penterjemahan buku-buku, makalah-makalah ilmiah.
• Mendidik diri untuk menjadi professional serta pejuang bahasa.