Tuesday, May 13, 2008

Pengalaman Menghadiri Persidangan Dewan Rakyat

Pada 12 Mei yang lalu terdetik aku untuk menghadiri persidangan dewan rakyat di dewan parlimen. Niatku hampir terhalang kerana di awal-awal lagi aku telah ditahan dari memasuki dewan rakyat dek kerana tidak mempunyai surat yang membenarkan ku memasuki parlimen. Akhirnya setelah ku meminta dan memohon kepada pegawai keselamatan aku di benarkan masuk. Tatkala berada di dewan rakyat ku dapat melihat ahli-ahli parlimen yang terkenal seperti YB Dato' Nasarudin Mat Isa, YB Tuan Guru Datuk Haji Abdul Hadi Awang, selain itu, ku dapat juga berjumpa dengan Menteri Beli dan Menteri Pelajaran. Selang beberapa jam lobi dewan menjadi ceria kerana YAB Dato Seri IR Nizar memasuki Lobi dewan. Beliau dikerumuni para wartawan bagaikan seorang tokoh terkenal. Ku melihat gelagat para wartawan menanyakan soalan kepada YAB Menteri Besar Perak,,hehe mungkin ini penangan orang Perak yang berjaya mencuri tumpuan wartawan. Aku turut mengambil peluang bersalaman dengan tokoh Perak ini. Bersalaman dengan beliau adalah harapanku sejak beliau menjadi Menteri Besar Perak. Sebelum ini aku ingatkan Menteri Besar Perak ini berasal dari Jemaah Islah Malaysia, ternyata andaianku meleset. Abangku merupakan sahabat karib kepada beliau. Mereka bersama-sama menubuhkan satu jemaah yang bernama Suara Islam ketika belajar di United Kingdom satu ketika dahulu. Tujuan parti ini ditubuhkan adalah sebagai satu protes kepada penggabungan PAS dan UMNO ketika era 70 hingga 80 an.
Jemaah ini juga cuba untuk menubuhkan satu parti yang dinamakan sebagai Parti Negara Islam tetapi tidak diluluskan oleh Pendaftaran Parti. Berbalik kepada kisah aku di dewan rakyat, aku melihat persoalan-persoalan yang dijawab oleh menteri-menteri terlibat, apa yang membuat aku terkejut ialah apabila seorang menteri ini menyatakan " I have to protect the government interest". Saya tak tahu la sama ada beliau tersasul ataupun tidak tetapi kenyataan beliau boleh menimbulkan seribu tanda tanya persoalannya adakah kerajaan perlu menjaga kepentingan rakyat atau peiuk nasi sendiri????? selepas itu sampai pula ke perbahasan ucapan YDPA oleh YB Sdr. Khairy Jamaluddin.
Beliau menyatakan pakatan rakyat ini umpama pakatan PR atau Public Relation, apa yang melucukan ialah apabila beliau menyatakan keadaan pimpinan di Selangor ibarat menjalankan Projek Khinzir Raksaksa atau singkatannya PKR. YB Sdr Zulkifli Nordin mencelah dengan meminta ruling di bawah order 36 (4) penghinaan tetapi ditolak oleh Yang Dipertua Dewan kerana menyatakan ia tidak menghina. Akibat dari ketidak puasan hati pembangkang salah seorang ahli dewan iaitu YB Tuan Haji Mahfuz Omar menyebut Projek Babi Negara ( PBN). Ya memng betul orang kata apabila kita bergurau dengan orang kita tak tahan gurauan. Itulah yang berlaku pada Ahli parlimen Rembau yang melenting sebaik saja ahli parlimen pembangkang menyebut projek babi negara..... keadaan di dewan rakyat membawa seribu satu perkara serius mahupun lucu. Tiba giliran YB dari Kalabakan yang memberi amaran Tsunami kedua akan melanda Sabah jika kerajaan pusat tidak menghiraukan permintaan kerajaan Sabah... itulah sedikit sebanyak pengalaman berada di dewan rakyat....

Tuesday, May 6, 2008

Reformasi Malaysia satu Tinjauan

Tatkala ku berjalan di sebuah “shopping complex” yang terkenal di Ipoh ku merenung keadaan remaja pada hari ini. Berpelesaran tanpa segan silu dengan "trend"pakaian yang terbaru mengikut budaya barat. Cara dan budaya yang dipaparkan oleh remaja hari ini jelas tidak menggambarkan budaya Melayu Islam.Terpikir sejenak kenapa perkara ini berlaku sedangkan di barat ramai yang berpusu-pusu untuk memasuki serta mendalami agama Islam. Kerisauan dan ketakutan jelas menyelubungi diri takut-takut dalam tempoh 10 tahun lagi tiada kepemimpinan muda akan lahir di negara ini.
Kita lupakan sejenak akan kisah atau gelagat anak-anak muda di pasar raya….ketika ku berjalan-jalan di pasar raya ku teringat akan satu kedai yang menjual buku-buku terpakai dengan harga berpatutan. Di situ ku melihat sebuah buku yang menarik perhatianku iaitu buku yang bertajuk Layakkah Anwar ketuai reformasi? yang di karang oleh Ahmad Lutfi Othman Di kedai buku itu juga ada terdapat buku yang berjudul Maksud bangsa Melayu yang di tulis olah Muhammad Muhd Taib. Tiba-tiba aku berasa keliru yang mana satu buku yang patut aku beli, akhirnya jiwaku lebih tertarik untuk membeli buku karangan Ahmad Lutfi Othman.
Buku ini berkisar tentang kegawatan ekonomi dan reformasi yang berlaku di Indonesia. Kegawatan yang bermula seawal 1997 telah banyak meragut kekayaan negara-negara di Asia. Paling teruk terjejas ialah negara Korea Selatan dan Indonesia. Ini sekaligus memaksa mereka meminjam dari bank dunia atau lebih dikenali sebagai “IMF”. Malaysia juga antara negara yang terjejas akibat dari kegawatan ekonomi ini.Hampir separuh dari jumlah matawang ringgit jatuh dan beberapa syarikat gergasi terpaksa gulung tikar akibat tidak dapat menanggung hutang yang berlipat kali ganda serta banyak syarikat kecil yang muflis dek kerana kegawatan ekonomi ini. Apabila negara ini dilanda krisis ekonomi Perdana Menteri Dato Seri Dr. Mahathir Mohammad masih lagi mempertahankan bahawa ringgit masih kukuh lagi. Di dalam buku ini Dr. Mahathir menafikan sekeras-kerasnya keretakan yang berlaku antara beliau dan timbalannya. Salah seorang tokoh yang di temuramah telah menggambarkan Anwar lebih ganas dari Dr. Mahathir. Alasan untuk tokoh ini berkata begitu adalah kerana kalau diikutkan Anwar dan Dr. Mahathir adalah sama saja, jika dikatakan Dr. Mahathir mengamalkkan nepotisme, kronisme Anwar Ibrahim juga mengamalkan begitu. Dikhabarkan juga apabila Anwar Ibrahim menjadi Presiden di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, pelajar-pelajar masih dikongkong dan diikat dengan Akta Auku.
Di dalam buku ini juga terdapat catitan konspirasi kaedah mendapatkan tempat menjawat jawatan penting dalam UMNO dan persaingan antara Ku Li dan Dr M serta kejatuhan Musa Hitam serta berundurnya Tun Ghafar Baba dari jawatan timbalan presiden UMNO bagi memberi laluan kepada ketua team Wawasan iaitu Dato Seri Anwar Ibrahim. Pengarang juga menyatakan bahawa lebih baik Pak Lah atau Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
Selepas 11 tahun kisah penangkapan Anwar Ibrahim dan kegawatan ekonomi apa yang berlaku di Malaysia adalah di luar jangkaan para penganalisis politik di Malaysia, keadaan tidak seperti yang diharapkan, betul keadaan ekonomi Malaysia semakin pulih tetapi hubungan antara kaum ibarat bom jangka apabila di hidupkan maka bila-bila masa boleh meletup…..
Senario politik negara kini sudah berubah di mana 5 negeri telah berjaya ditawan oleh pakatan rakyat. Jadi mungkin sesuatu yang akan mengejutkan bakal berlaku dalam masa terdekat ini. Mudah-mudahan perkara yang bakal berlaku di masa hadapan akan bertambah baik …….