Wednesday, March 21, 2007

"Penayangan Filem Mukhsin wajar Dikaji Semula"

Penayangan filem Mukhsin wajar dikaji semula

Penayangan filem keluaran terbaru Yasmin Ahmad iaitu Mukhsin baru-baru ini memaparkan kehidupan masyarakat kampung terutama Melayu Islam wajar dikaji semula kerana ia tidak membawakan ciri-ciri kehidupan sebenar masyarakat Melayu Islam di Malaysia ini terutama masyarakat kampung. Tindakan ibu bapa di dalam cerita tersebut yang membenarkan anak gadis mereka keluar bersama-sama seorang budak lelaki dalam keadaan berdua-duaan menimbulkan persepsi dan kesan kepada ibu bapa dan golongan remaja khususnya. Di dalam filem tersebut, budak perempuan yang berusia 10 tahun dan budak lelaki berumur 12 tahun di mana kedua-duanya menghampiri waktu akli baligh boleh menjuruskan kepada permasalahan yang lebih besar iaitu masalah sosial. Cerita tersebut juga memaparkan kisah percintaan pada usia remaja. Keadaan ini akan menyebabkan golongan remaja khususnya kanak-kanak merasakan percintaan pada usia muda ini dibolehkan.
Ini, sama sekali tidak selari dengan didikan moral dan akhlak masyarakat timur. Islam turut menyebut di mana usia seawal 1 hingga 12 tahun adalah usia untuk ibu bapa mendidik anak-anak mereka dengan akhlak yang terpuji bukan dengan membenarkan mereka bergaul bebas antara lelaki dan perempuan berdua-duaan dalam keadaan sunyi dan terpencil.
Saban hari kita mendengar berita masalah sosial seperti seks luar nikah, pembuangan bayi dan sebagainya. Dalam kenyataan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bertarikh 9 Mac 2007 mengenai kepentingan golongan lelaki harus dihukum sama dalam isu pembuangan bayi, beliau mengatakan “Kita amat menyokong saranan KPN yang mahu undang-undang dikaji semula untuk memastikan golongan lelaki yang terlibat dalam kes itu turut dipenjara”. Ini jelas membuktikan permasalahan sosial seperti pembuangan bayi semakin meningkat dalam negara ini di mana golongan yang terlibat adalah golongan remaja.
Apabila difikirkan adakah filem ini menggambarkan ciri dan budaya sebenar masyarakat timur? Wajarkah kita mengikut gaya hidup kebanyakan masyarakat barat yang membenarkan anak-anak mereka bergaul bebas lelaki dan perempuan.
Justeru, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) terpanggil untuk menyuarakan pandangan disebabkan permasalahan isu sosial semakin kritikal. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia mencadangkan kepada pihak berwajib untuk mengkaji semula penayangan filem Mukhsin dan membuat garis panduan yang lebih efisyen mengenai pembikinan dan penayangan filem di Malaysia bagi mendidik masyarakat kearah “Gaya Hidup Murni”



KHAIRUL ANUAR BIN MUSA
851019-08-5733
EXCO GENERASI MUDA PRIHATIN (GEMPA)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Thursday, March 1, 2007

"Pengharaman Sensasi tidak menyelesaikan masalah"

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik usaha kerajaan mengarahkan supaya rancangan sensasi yang disiarkan di TV3 dihentikan. Selain, menjaga sensitiviti agama ia turut juga menjadi langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan perkara yang sama berulang kembali. Tidak dinafikan rancangan sensasi mendapat rating yang tinggi dan menjadi salah satu rancangan hiburan kegemaran rakyat Malaysia tetapi adab-adab dan peraturan yang telah digariskan oleh undang-undang juga harus dituruti dan dijaga agar tidak menimbulkan kontroversi di antara semua pihak terutama penduduk Islam di Negara ini yang menjadi penduduk majoriti. Pun begitu, pengaharaman rancangan sensasi ini juga tidak dapat menyelesaikan masalah moral dan sosial masyarakat di mana elemen-elemen menghina Islam juga turut berlaku di kalangan masyarakat itu sendiri seperti contoh golongan-golongan Black Metal yang menimbulkan kontroversi apabila menghina Al_Quran dan Islam dan juga golongan yang menentang hadis Nabi Muahammad s.a.w serta tidak lupa juga ajaran-ajaran sesat di mana ada di antaranya sanggup mengaku sebagai Nabi. Kami juga ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya memantau program-program hiburan yang diadakan dan disiarkan di negara ini. Ini kerana, permasalahan yang berlaku adalah golongan muda di negara ini terlalu asyik dengan hiburan yang melampau-lampau dan terpengaruh dengan budaya yang tidak sihat ataupun lebih dikenali dengan budaya Hendonisme. Budaya ini perlu dikawal kerana ia akan menjadi masalah yang besar kepada negara ini. Masyarakat yang terpengaruh dengan gejala ini akan mewujudkan masyarakat yang kurang berdaya saing dan pembudayaan budaya intelektual. Perkara ini juga akan mengakibatkan misi negara kita iaitu ingin melahirkan modal insan terbantut sama sekali. Justeru, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyeru kepada semua pihak agar menggembleng tenaga mewujudkan masyarakat yang mengamalkan “Gaya Hidup Murni” sejajar dengan misi Islam Hadhari

Konsert Rentaq Serantau adakah bersesuaian dengan budaya timur?

Konsert Rentaq Serantau adakah bersesuaian dengan budaya hidup timur?


Konsert Rentaq Serantau yang diadakan pada 3 Februari 2007 yang lalu di Stadium Melawati Shah Alam di mana menggabungkan 4 pemuzik Malaysia dan Indonesia iaitu Search, Ella, Radja serta Inul Daratasia. Jika dilihat dari kempen ataupun promosi konsert ini lebih kepada merapatkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia tetapi realitinya program ini hanya berbentuk hiburan semata-mata. Apabila dibaca laporan akhbar tempatan mengenai Konsert Rentaq bertarikh 7 Februari 2007 yang lepas di mana Inul memberi kerjasama kepada penganjur Konsert untuk tidak bergelek dengan lebih-lebihan tetapi ia tetapi dengan aksi yang ditonjolkan oleh artis tersebut ia masih lagi menjadi tanda tanya adakah ia benar-benar cukup untuk mematuhi arahan sedia ada? Apabila siasatan dilakukan, aksi yang dilakukan oleh artis tersebut masih tetap diklasifikasikan sebagai aksi yang mengghairahkan.
Tindakan pihak tertentu dengan membawa Inul ke Malaysia juga perlu di selidiki kerana, melihat situasi di Indonesia di mana Inul telah diharamkan penampilannya di televisyen dan sebarang acara di Indonesia. Kenyataan oleh Saudara Rama Pratama yang juga ahli Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) dari Parti Keadilan Sejahtera Indonesia yang juga memegang jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Agung Pergerakan Persekutuan Islam Antarabangsa(IIFSO) yang mengatakana “Saya orang Indonesia, saya tahu kondisi di sana tapi masyarakat di sini ternayata masih lagi mengundang Inul yang ternyata ditolak penampilannya oleh Majlis Ulama Indonesia sendiri” Permasalahan yang berlaku bukan sekadar itu sahaja malahan Konsert yang diadakan juga memberi kesan kepada kebejatan sosial yang berlaku. Permasalahan ini berlaku apabila keadaan konsert tersebut bagaikan mengizinkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram di mana ia diharamkan di dalam Islam. Tidak kurang juga bagi mereka yang meninggalkan solat seharusnnya kita sebagai umat Islam wajib melaksanakannya. Selain itu, permasalahan moral juga turut berlaku apabila penonton yang menyaksiakan konsert tersebut terlalu asyik sehingga menyebabkan berlakunya sedikit pertelingkahan. Kita lihat pula bagaimana situasi generasi muda yang terlalu asyik dengan hiburan, mampukah mereka membantu dan menjana modal insan yang digagaskan oleh Perdana Menteri kita?
Justeru, kami menyeru supaya pihak-pihak yang terbabit mengambil tindakan untuk membendung perkara yang tidak bersesuaian dengan norma-norma masyarakat timur dan Islam bagi mewujudkan “Gaya Hidup Murni” dalam membina modal Insan seterusnya membina generasi pelapes negara.

Misi Skuad Prihatin

“Misi Skuad Prihatin” Tangan Dihulur Bakti Ditabur


Tahun 2006 telah mencatatkan satu peristiwa yang tidak diduga di mana kejadian banjir yang cukup dahsyat berlaku di beberapa buah tempat di Malaysia mahupun di Indonesia dan beberapa negara lain. Di Malaysia kejadian banjir yang berlaku di selatan dan timur tanah air telah sedikit banyak mempengaruhi perjalanan ekonomi di negara ini. Terdapat ramai peniaga-peniaga yang menanggung kerugian yang tinggi dan kurang juga penduduk-penduduk yang telah hilang segala harta benda.
Justeru itu, dengan inisiatif dan semangat yang kental Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah menghantar 3 misi ke kawasan yang teruk dilanda banjir iaitu di Johor. Misi pertama iaitu pada 24 Disember 2006. Pada hari tersebut objektif utama skuad ialah memantau, membuat laporan dan menghantar bantuan. Skuad yang dinamakan sebagai skuad pemantau ini telah sampai pada 24 Disember pada pukul 9.30 pagi. Kawasan yang menjadi tumpuan ialah di penempatan Sekolah Tinggi Segamat. Di sana kami menunggu kedatangan sahabat-sahabat PKPIM, ABIM dan GPM Johor.Semenatara menanti kedatangan mereka En. Shirajuddin Siraj iaitu wakil Global Peace Malaysia , Sdr. Akmar wakil dari ABIM, Sdr. Rafique dan Saudara Anuar wakil PKPIM telah berjumpa dengan Kolonel Kamal iaitu Ketua operasi PBSM dan En. Nasir untuk mendapat maklumat terbaru mengenai keadaan banjir di Segamat. Mengikut maklumat yang diberi kebanyakan kawasn yang dilanda banjir mulai surut dan ramai penduduk setempat yang dibenarkan pulang, Cuma di beberapa tempat sahaja yang masih dilanda banjir iaitu di Kampung Pogoh 2 dan Kampung Paya Pulai di mana kedua-dua kawasan ini terputus bekalan daripada darat disebabkan kawsasan jalanraya yang masih ditengelami air. Selepas kehadiran sahabat-sahabat dari Johor Bahru yang menaiki helikopter yang ditaja oleh Tengku Mahkota Johor bagi membantu mangsa banjir tertuma di kawasan yang teruk dilanda bencana. Syarikat Gerbang Perdana Sdn. Bhd turut menghantar bantuan bersama-sama rakan-rakan. Pada pukul 11.30 kami mula bergerak ke kawasan penduduk yang kekurangan bekalan makanan. Tempat utama Skuad Prihatin ialah di Taman Midah dan Kampung Jawa di mana banjir di kawasan tersebut sudah surut. Selain itu, kami juga menghantar bantuan kepada Perkampungan orang Asli yang juga turut terputus bekalan dan hubungan. Misi pertama Skuad ini berakhir pada pukul 6 petang. Objektif utama telah dapat dicapai dan segala maklumat mengenai banjir di Johor telah pun diterima untuk membuat penilaian.
Misi kedua Skuad Prihatin ialah pada 1-2 Januari 2007. Objektif utama misi ini ialah memberi bantuan perubatan kepada mangsa-mansgsa pasca banjir. Kawasan yang ditujui ialah di Mukim Lenga, Muar Johor. Misi ini diketuai oleh Saudara Khairul Anuar bin Musa dari PKPIM dan dibantu oleh En Shirajuddin Siraj dari GPM serta 2 orang doktor yang berpengalaman dalam mengendalikan misi-misi kemanusian iaitu Dr. Siti Sulhoon Mohamed dari Hospital Pakar Selayang dan Dr Dahlia Abdul Malik dari Hospital Kajang.Kami juga turut dibantu oleh 6 sukarelawan terdiri daripada ahli farmasi, pelajar perubatan, kaunselor dan orang perseorangan. Mereka ialah Ahmad Abdul Jalil Mohd Razali, Hamzaleen Mohamed ,Raja Zahanizah Raja Alang Hassan ,Suaibatu Sya’adiyah Hodari ,Afif Bahardin ,Naim Marzuki Abdul Malik

Pada 1 Januari kami telah berjumpa dengan Tuan Haji Majid bin Haji Mistam iaitu Penghulu Mukim Lenga di Sekolah Kebangsaan Gombang untuk mendapatkan taklimat mengenai situasi banjir di sana. Menurut beliau lebih 90 peratus kawasan di Lenga yang ditenggelami air dan kebanyakan penduduk kawasan masih tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kerana kekhuatiran akan berlaku banjir sekali lagi.Gerakan Skuad Prihatin kumpulan perubatan dibahagi kepada 2 kumpulan iaitu Kumpulan B yang akan kekal di Sekolah tersebut dan Kumpulan A yang akan bergerak ke kawasan Kampung Lenga dan Kampung Jawa. Bagi Kumpulan A kami dipandu arah oleh Tuan Haji Shahrol Abu Samah. Sepanjang operasi pada hari pertama kami berjaya memberikan rawatan kepada 60 penduduk mangsa banjir. Kebanyakan mereka menghidap penyakit skin fungal infection dan upper respiratory tract infection (URTI) and acute gastroenteritis di mana kedua-dua penyakit ini sering dihidapi oleh mangsa-mangsa pasca banjir menurut Doktor yang merawat.
Pada hari kedua kami bergerak ke Kampung Sentosa di mana kawasan penduduk orang Asli. Di sana kami berjumpa dengan Tok Batin kampong tersebut iaitu En. Lan Yau bin Kop. Kami menerima maklumat bahawa perkampungan tersebut terputus hubungan dengan kawasan luar lebih dari 7 hari. Di perkampungan tersebut jumlah pesakit yang dirawat ialah seramai 33 orang di mana penyakit yang dihidapi ialah Scabies and upper respiratory tract infection (URTI. Kami selesai menjalankan misi pada pukul 12.30 tengahari dan bertolak pulang ke Kuala Lumpur selepas itu.
Misi ketiga Skuad Prihatin ialah pada 5 Januari sehingga 7 Januari 2007. Misi kali ini ialah membantu mangsa-mangsa banjir membersihkan rumah (Misi Pembersihan). Kami bertolak pada pukul 11.30 malam pada 5 Januari dan sampai di Lenga pada 4 pagi 6 Januari 2007. Skuad kali ini dianggotai oleh 40 orang sukarelawan dari Kuala Lumpur. Selepas menunaikan solat Subuh di Masjid Kampung Baru Lenga, kami bertolak ke Balai Polis Lenga untuk bertemu dengan Penghulu Tn Haji Majid. Pada pukul 7.30pagi kami memperkenalkan diri kepada Penghulu dan memberi maklumat tentang tujuan kedatangan kami ke kawasan tersebut. Misi kami selain dari membersihkan rumah, kami juga menyediakan perkhidmatan kauseling di samping memberi sumbangan berupa pakaian dan beras. Sejurus selepas itu, kami diberi taklimat oleh Penghulu Tuan Haji Majid bin Haji Mistam mengenai kawasan yang boleh kami memberikan bantuan. Menurut beliau tempat yang boleh dibantu ialah di kawasan Kampung Lenga di mana kawasan tersebut adalah antara salah satu kawasan yang teruk dilanda banjir.
Selesai memberi taklimat, saudara Khairul Anuar bin Musa selaku ketua misi memecahkan sukarelawan kepada 5 kumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada 6- 7 sukarelawan. Kumpulan pertama diketuai oleh Saudara Syaiful Asyraf Ahamidi, kumpulan kedua diketuai oleh Saudara Wan Mohamad Wasif Wan Mohamad, kumpulan ketiga diketuai oleh Suffri Abd Basir, kumpulan keempat diketuai oleh Mohd Shazni Abdullah dan kumpulan kelima diketuai oleh Hasliza bt Mohd Ali.Pada pukul 10 pagi kami bertolak ke kawasan yang telah ditetapkan. Setibanya kami di sana, kami bergerak dari rumah ke rumah, setiap kumpulan ditugaskan membersihkan masing-masing sebuah rumah. Antara kerja-kerja yang dilakukan ialah membersihkan kawasan dalam dan luar rumah, perabot, pinggan mangkuk dan pelbagai lagi. Kami sempat memberikan sesi kaunseling kepada mangsa-mangsa banjir. Banyak kisah-kisah yang diceritakan kepada kami, antara kisahnya ialah keadaan banjir yang amat dahsyat. Kali terakhir berlaku banjir di kawasan tersebut ialah pada awal tahun 70 an, tetapi kali ini keadaan banjir yang berlaku lebih dahsyat lagi iaitu lebih sekaki daripada tahun 70 an. Jika dilihat daripada keadaan banjir di situ, kami berasa pilu dan sedih membayangkan kesusahan dan kepayahan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa-mangsa tersebut. Ada yang kehilangan tempat tinggal, ada yang kehilangan harta benda dan juga kerosakan barang-barang yang disayangi. Alhamdulillah pada hari pertama kami menabur bakti kami berjaya membantu mangsa banjir membersihkan rumah mereka. Sebanyak 9 buah rumah telah berjaya kami bantu. Kami sungguh terharu dengan ucapan terima kasih yang diterima daripada mangsa-mangsa banjir tersebut kerana penghargaan kepada kerja-kerja yang telah kami jalankan.Pada sebelah malam, kami berehat di balai raya Lenga dan bersolat jemaah bersama-sama. Selepas itu kami menikmati makan malam bersama-sama, di samping menikmati makan malam Saudara Khairul Anuar dan Saudara Zainuddin menceritakan pengalaman menjalankan misi-misi kemanusiaan di tempat-tempat lain. Antara perkara lain yang disentuh ialah kepentingan membantu mereka yang memerlukan sambil berdakwah dalam kontek semasa membantu mangsa-mangsa banjir tersebut.
Pada 7 Januari, selepas membuat persiapan diri kami terus bergerak ke kawasan Kampung Lenga untuk menyambung kerja-kerja pembersihan. Keadaan pada hari ini lebih mencabar pada hari tersebut, kerana skuad prihatin bersama-sama membantu membaiki rumah iaitu rumah Hajah Rafeah di mana tiang-tiang yang menyokong rumahnya telah rosak dan patah. Alhamdulillah kami berjaya membaiki kembali rumah tersebut. Selepas itu, kami bergerak untuk membersihkan rumah yang lain sepertimana kami lakukan pada hari sebelumnya. Selain itu, kami juga memberikan sumbangan pakaian dan beras kepada penduduk tersebut. Pakaian dan beras yang disumbangkan adalah hasil sumbangan orang ramai kepada Global Peace Mission, ABIM dan PKPIM. Alhamdulillah kami berjaya dengan izin Allah s.w.t membersihkan 4 buah rumah.Kami bertolak pulang pada pukul 2 petang dari Lenga dan Alhamdulillah sampai di Kuala Lumpur pada pukul 7.30 malam.
Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang ramai yang telah menghulurkan sumbangan dan para sukarelawan yang telah banyak membantu mangsa-mangsa banjir di Johor. Bersesuaian dengan kata-kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sewaktu merasmikan Tahun Sukarelawan Antarabangsa pada tahun 2001 menggambarkan semangat dan motivasi sukarelawan yang cekal ini seperti berikut:
“Their motivation can be summed up in one word: sharing. They share their time. They share their skills and talents. Above all they share a human experience….”
Pihak ABIM,PKPIM dan juga GPM amat mengalu-alukan sumbangan dari pelbagai pihak. Sumbangan boleh dihantar kepada Sekretariat Tabung Mangsa Banjir
BIMB: 14-023-01-001118-8
(ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA)
Sumbangan anda semua adalah amat dihargai. Moga-moga mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t

Ahlan Wasahlan

Assalamualaikum w.b.t