Wednesday, March 21, 2007

"Penayangan Filem Mukhsin wajar Dikaji Semula"

Penayangan filem Mukhsin wajar dikaji semula

Penayangan filem keluaran terbaru Yasmin Ahmad iaitu Mukhsin baru-baru ini memaparkan kehidupan masyarakat kampung terutama Melayu Islam wajar dikaji semula kerana ia tidak membawakan ciri-ciri kehidupan sebenar masyarakat Melayu Islam di Malaysia ini terutama masyarakat kampung. Tindakan ibu bapa di dalam cerita tersebut yang membenarkan anak gadis mereka keluar bersama-sama seorang budak lelaki dalam keadaan berdua-duaan menimbulkan persepsi dan kesan kepada ibu bapa dan golongan remaja khususnya. Di dalam filem tersebut, budak perempuan yang berusia 10 tahun dan budak lelaki berumur 12 tahun di mana kedua-duanya menghampiri waktu akli baligh boleh menjuruskan kepada permasalahan yang lebih besar iaitu masalah sosial. Cerita tersebut juga memaparkan kisah percintaan pada usia remaja. Keadaan ini akan menyebabkan golongan remaja khususnya kanak-kanak merasakan percintaan pada usia muda ini dibolehkan.
Ini, sama sekali tidak selari dengan didikan moral dan akhlak masyarakat timur. Islam turut menyebut di mana usia seawal 1 hingga 12 tahun adalah usia untuk ibu bapa mendidik anak-anak mereka dengan akhlak yang terpuji bukan dengan membenarkan mereka bergaul bebas antara lelaki dan perempuan berdua-duaan dalam keadaan sunyi dan terpencil.
Saban hari kita mendengar berita masalah sosial seperti seks luar nikah, pembuangan bayi dan sebagainya. Dalam kenyataan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bertarikh 9 Mac 2007 mengenai kepentingan golongan lelaki harus dihukum sama dalam isu pembuangan bayi, beliau mengatakan “Kita amat menyokong saranan KPN yang mahu undang-undang dikaji semula untuk memastikan golongan lelaki yang terlibat dalam kes itu turut dipenjara”. Ini jelas membuktikan permasalahan sosial seperti pembuangan bayi semakin meningkat dalam negara ini di mana golongan yang terlibat adalah golongan remaja.
Apabila difikirkan adakah filem ini menggambarkan ciri dan budaya sebenar masyarakat timur? Wajarkah kita mengikut gaya hidup kebanyakan masyarakat barat yang membenarkan anak-anak mereka bergaul bebas lelaki dan perempuan.
Justeru, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) terpanggil untuk menyuarakan pandangan disebabkan permasalahan isu sosial semakin kritikal. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia mencadangkan kepada pihak berwajib untuk mengkaji semula penayangan filem Mukhsin dan membuat garis panduan yang lebih efisyen mengenai pembikinan dan penayangan filem di Malaysia bagi mendidik masyarakat kearah “Gaya Hidup Murni”



KHAIRUL ANUAR BIN MUSA
851019-08-5733
EXCO GENERASI MUDA PRIHATIN (GEMPA)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

No comments: