Monday, November 2, 2009

Monday, 02 November 2009 13:24


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim minggu lepas yang menyatakan bahawa sistem pendidikan negara perlu disusun semula termasuk melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai kerana sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu.

Dalam meniti dasawarsa ke enam usia Malaysia, sudah tiba masanya dasar pengasingan aliran pendidikan yang diwarisi semenjak zaman penjajah dikaji semula kerelevanannya memandangkan usaha untuk membentuk kepelbagaian menjadi kesatuan masih gagal dilaksanakan. Maka, PKPIM menyokong penuh sistem pendidikan satu aliran yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sebagai wadah perpaduan yang berkesan di kalangan pelajar.

Walau bagaimanapun PKPIM berpendapat perlunya penyusunan dan penstrukturan semula dasar, unsur, dan intipati sekolah satu aliran bagi memastikan rencah yang diimplimentasi benar-benar mampu membawa agenda perpaduan nasional. Lantaran itu, pihak PKPIM mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk menganjurkan siri perbincangan dan persidangan yang melibatkan semua pihak bagi membentuk konsep sekolah satu aliran yang jelas dan mampu menjadi cerminan kepada ketiga-tiga identiti bangsa dengan menyatupadukan identiti dan kebudayaan rakyat pelbagai kaum.

Dalam pada itu, PKPIM juga menegaskan bahawa semua sekolah dan guru di seluruh peringkat harus berperanan sebagai agen yang membentuk perpaduan pemikiran dan sosial para pelajar dengan memberi penekanan terhadap subjek-subjek yang berunsur kenegaraan, warisan dan sejarah kepelbagaian kaum, dan seumpama denganya. Berdasarkan situasi semasa, penekanan terlalu diberikan kepada subkek-subjek yang bersifat teknikal sehingga pelajar kurang didedahkan dengan penghayatan perpaduan dan kenegaraan Malaysia. Lebih malang lagi, subjek yang bersifat sains kemanusiaan juga hanya diajar sebagai fakta untuk peperiksaan tetapi gagal disusuli dengan penghayatan ruh di sebalik makna pendidikan tersebut.

Sebagai contoh subjek Bahasa Melayu hanya sekadar diajar untuk memenuhi silibus pendidikan tetapi tidak ditekankan peranan dan penghayatannya sebagai bahasa dan alat perpaduan pelbagai kaum. Jika situasi ini berterusan kesepaduan tidak akan tercapai walaupun dasar pendidikan satu aliran telah dilaksanakan.

Maka, bagi membentuk kesepaduan masyarakat di kalangan para pelajar, dasar pendidikan satu aliran yang berteraskan satu konsep yang jelas adalah merupakan medan terbaik yang harus dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Walau bagaimanapun, peranan besar yang diberikan kepada sekolah dan guru untuk menyatupadukan para pelajar harus digalas dengan sebaik-baiknya memandangakan pihak guru adalah merupakan kayu ukur sebenar kejayaan sesuatu dasar pendidikan.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga berpendapat isu perpaduan tidak seharusnya ditekankan dalam ruang lingkup sekolah semata-mata tetapi harus melibatkan generasi muda dan masyarakat Malaysia secara menyeluruh melalui penekanan dan penegasan terhadap dasar kebangsaan di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.

Sekretariat PKPIM Pusat