Wednesday, September 22, 2010

Pertarungan Sosial Muslimin Muda Di Malaysia

Malaysia mempunyai jumlah golongan belia (15-40 tahun) di Malaysia adalah seramai 10,761.2 juta atau 41.18 % daripada jumlah keseluruhan penduduk Negara ini,kebanyakannya ialah Melayu Islam. Ini Memperlihatkan suatu tanggapan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam barangkali mempunyai kekuatan dari segi kuantiti tenaga muda yang mampu berpotensi memacu pembangunan negara.Tetapi penilaian secara kualiti pula Indeks Belia Malaysia(IBM) telah ditubuhkan dan skor yang diperolehi pada tahun 2006 ialah 68.7% ini mencerminkan keadaan kualiti belia di Malaysia dalam keadaan yang baik,Namun perlu difahami penilaian tersebut bukan suatu keputusan yang perlu dicetak atau dibanggakan semata-mata. Apatah lagi,kebanyakan golongan muda khususnya Muslimin dipengaruhi unsur hooliganism, Hedonism dan kejahilan walaupun di kualiti mereka digunakan sebaiknya.Inilah pertarungan sebenar bagi kaum muslimin muda dalam menempatkan diri mereka kearah jalan yang sepatutnya.





Sememangnya dari perspektif Islam golongan muda sangat dihargai ALLAH Azza Wa Jalla,ini diterangkan dalam firmanNYA dalam Surah Al-Kahfi ayat 13 yang bermaksud :-





"Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah dan petunjuk".





Namun kualiti Muslimin Muda pada hari ini seolah-olah dipersiakan dengan budaya modenisme yang menggugat akidah dan keimanan mereka,dengan media memaparkan pelbagai isu dan penyakit sosial dalam kalangan muslimin muda. Penerbitan siri Belia dan Remaja pada masa kini seringkali memaparkan unsur-unsur hedonisme yang melampau, akibatnya ramai Muslimin Muda yang "mati" di dunia ini kerana tewas dalam pertarungan sosial yang berlaku. Tidak Dinafikan media ada peranan dalam masyarakat, Namun peranan itu harus digunakan dalam bentuk ilmu bukannya hiburan yang menyebabkan ketewasan jiwa.Dan menyebabkan Muslimin akan bertemankan arak,judi dan sebagainya Bersesuaian dengan Firman ALLAH yang bermaksud :- Baca Lagi...




Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya. (Al-Maidah: 90)





Asy Syahid Hassan AL Banna pernah menerangkan dalam risalah beliau yang bertajuk Dakwah Kita "Pengalaman dan sejarah telah mengajar kita bahawa penyakit bangsa Timur ini wujud dalam pelbagai keadaan dan telah menular ke setiap sudut hayat mereka. Dalam sudut politik bangsa ini telah dijajah oleh musuhnya. Dalam masa yang sama masyarakatnya pula hidup dalam keadaan berpuak, bermusuh dan berpecah. Dalam sudut ekonomi, amalan riba berleluasa di semua lapisan dan syarikat asing menguasai sumber kekayaan mereka.



Dalam sudut pemikiran, timbul kekeliruan, kemurtadan dan amalan menolak tuhan yang boleh menggugat akidah mereka dan menghancurkan nilai-nilai baik dalam diri masyarakat mereka. Dalam sudut sosial pula, wujud budaya pergaulan bebas dan keruntuhan akhlak serta tidak mahu terikat dengan mana-mana budaya baik yang mereka warisi daripada generasi lama. Sifat terikut-ikut dengan budaya barat juga menular dalam kehidupan harian mereka ibarat bisa ular yang meracuni darah dan mencemar kesucian hidup mereka. Begitu juga dengan undang-undang ciptaan manusia yang tidak mampu menakutkan penjenayah dan tidak mampu mendidik serta tidak mampu mengembalikan hak daripada orang yang zalim. Mereka mengamalkan undang-undang yang tidak mampu menandingi undang-undang langit yang telah digubal oleh Tuhan yang mencipta manusia, Raja segala-galanya dan Pemilik jiwa manusia.



Begitu juga wujud kepincangan dalam dasar pelajaran dan polisi pendidikan hingga menghalang generasi baru; bakal pemimpin dan pendokong kebangkitan masa depan daripada menerima bimbingan yang betul. Dalam sudut kejiwaan, bangsa ini ditimpa sifat-sifat lemah semangat, malas, pengecut, rendah diri, bacul, tamak dan pentingkan diri sendiri yang menyebabkan mereka tidak rela untuk berkorban. Mereka hanya berdiam diri tanpa mampu memberikan sebarang pengorbanan. Akhirnya bangsa ini terpinggir daripada semangat kepahlawanan mereka kepada hanya mahu berseronok dan berhibur ".Penyakit yang dinyatakan Asy Syahid Hassan Al Banna sekiranya wujud dalam jiwa muslimin muda kita sudah semestinya akan memperlihatkan tanda-tanda ketewasan dalam pertarungan sosial mereka.





Bagaimana Untuk Memenangi Pertarungan tersebut?





Dalam hal ini "senjata" yang diperlukan untuk memenangi pertarungan bagi muslimin muda ialah Muslimin harus memahami bahawa Islam bukan sekadar dianuti,tetapi untuk difahami,dihayati dan diperjuangkan.Untuk itu Pemantapan akidah adalah sangat dititikberatkan kepada muslimin muda bagi memantapkan diri menghadapi pelbagai jenis pertarungan Ummat.Budaya bebas juga harus dielakkan, keseronokan yang mempesona dan hiburan yang terdapat di mana-mana, di jalanan, di majlis, di kawasan percutian dan di kebun bunga. Semua budaya ini bertentangan dengan ajaran Islam yang meminta penganutnya agar berjiwa murni, mempunyai harga diri, tekun dan tidak terbabit dengan amalan yang tidak berfaedah yang mapu menyebabkan ketewasan.





Ukhwah dan Persaudaraan harus dipupuk dalam diri,Firman Allah Azza Wa Jalla





Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. (Aali Imran: 103)





Nilai persaudaraan dalam Islam ini amat difahami oleh umat Islam pertama dahulu (semoga Allah meredai mereka). Keyakinan mereka dengan agama Allah ini telah menyemai nilai kasih sayang yang sejati dan semangat persaudaraan yang suci dalam diri mereka.Akhirnya membenihkan kecintaan pada Allah dan Rasul serta para Sahabat, juga Saudara Seakidah. Keimanan yang teguh perlu dibina bagi meledakkan suatu potensi dalam diri muslimin iaitu takwa supaya mampu untuk menangkis segala godaan dan mencegah penyakit wahan dalam diri manusia.





Secara keseluruhan,Muslimin Muda pada hari ini sememangnya dimanjakan dengan segala kemewahan yang dikurniakan namun,tanpa disedari ia menimbulkan penyakit wahan yang telah diterangkan dalam sebuah hadis





"Daripada Tsauban r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi s.a.w. menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’.”Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu hai Rasulullah?” Nabi kita menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati.”(Riwayat Abu Daud)





Semoga Muslimin Muda di negara ini mehamami akan pertarungan yang mereka sedang hadapi serta bersedia menghadapinya.