Monday, July 30, 2007

Membantah Penganjuran Konsert Gwen Stefani di Malaysia

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) melahirkan rasa kesal di atas rancangan Syarikat Maxis Telekomunikasi Berhad menganjurkan konsert Gwen Stefani pada 21 Ogos 2007 ini. Penganjuran konsert terbabit jelas menunjukkan yang ia bertentangan dengan budaya dan norma-norma kehidupan masyarakat timur.

Kehadiran artis luar ini dikhuatiri akan mempersembahkan persembahan yang melanggar garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, melihat kepada latar belakang dan sejarah penyanyi berkenaan. Tambahan pula tayangan iklan dan klip video artis tersebut dilihat tidak sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia. Tayangan iklan di televisyen berkenaan konsert sangat melucahkan, memberi kesan yang buruk kepada kanak- kanak.

Berdasarkan pemerhatian PKPIM, Syarikat Maxis Telekomunikasi Berhad telah menganjurkan beberapa siri konsert artis luar negara, yang sebenarnya semacam bukan untuk mengangkat martabat industri kesenian negara, akan tetapi mengaut keuntungan dan mendedahkan generasi muda kepada kerosakan moral. PKPIM mempersoalkan sejauh mana sikap ‘corporate social responsibility’ pihak Maxis? Apakah niat sebenar Maxis menganjurkan konsert yang marathon sifatnya itu. Bukankah lebih baik Maxis menaja and membantu pendidikan pelajar miskin di kawasan pendalaman dan kampung- kampung? Kebanyakkan konsert yang dianjurkan menampilkan artis yang tidak senonoh, seperti Pussy Cat Dolls.

Mengikut kod 15.2 daripada suruhanjaya tersebut menyatakan pemakaian artis wanita yang ingin membuat persembahan di Malaysia adalah seperti berikut:

i) pakaian hendaklah lengkap, kemas sopan dan tidak terlalu ketat;
ii) pakaian hendaklah tidak mendedahkan sebahagian besar dada dan perut;
iii) skirt hendaklah di bawah paras lutut; dan

iv) kain berbelah (slit) sama ada di hadapan, di tepi atau di belakang hendaklah tidak melebih dua (2) inci di atas paras lutut.

Selain itu, kod 15.3 menyatakan bahawa Artis Lelaki dan Wanita perlu mematuhi garis panduan seperti di bawah:

i) muka hendaklah tidak diconteng;
ii) pakaian hendaklah tidak koyak atau bertampal-tampal;
iii) pakaian hendaklah tidak terlalu jarang atau yang memberikan kesan jarang;
iv) pakaian hendaklah tidak memaparkan simbol, perkataan sumbang atau gambar lucah;
v) jenis-jenis pakaian hendaklah tidak mnembayangkan pemakainya tidak berpakaian;
vi) baju hendaklah berlengan kecuali semasa berpakaian tradisional;
vii) tatu hendaklah tidak dipamerkan pada mana-mana bahagian tubuh badan kecuali sememangnya menjadi unsur budaya seseorang artis itu; dan
viii) perwatakan hendaklah tidak berlawanan dengan jantina sebenar kecuali dengan kebenaran


Berdasarkan kod etika di atas, sememangnya artis yang bakal dijemput sudah melanggar kod etika tersebut. Bukan setakat kod tersebut, bahkan dari segi adab dan budaya pun sudah bertentangan.

PKPIM melihat sudah ada kecenderungan di beberapa pihak seperti syarikat telekomunikasi yang berlumba-lumba mengadakan konsert di mana kebanyakan artisnya adalah artis luar negara yang jelas tidak mengetahui dan memahami kebudayaan masyarakat Malaysia. Trend ikutan budaya Barat terutama dari segi pemakaian semakin menjadi-jadi di Malaysia.

Perkara ini bertambah buruk apabila ada pihak yang seakan-akan mengizinkan perkara ini berlaku. Gejala hendonisme iaitu hiburan yang melampau-lampau semakin hari semakin menghakis daya intelektual dan budaya masyarakat Malaysia. Penganjuran konsert terbabit boleh menggalakkan lagi budaya yang tidak sihat ini. Sedangkan seperti yang kita maklum, budaya timur yang menghiasi masyarakat kita sejak turun temurun dari generasi ke generasi begitu kaya dengan amalan budi bahasa, sikap sopan santun, berpekerti mulia yang jelas bercanggah dengan budaya barat ini.

PKPIM bertegas agar pihak pengurusan konsert terbabit, iaitu Maxis segera membatalkan persembahan artis Gwen Stefani pada 21 Ogos 2007 ini. Janganlah tunggu sehingga Maxis dicop sebagai agen perosak bangsa nanti!

2 comments:

Akmal Hisham Abdul Rahim said...

Cayala Bro...wa respek sama lu

Faisal Aziz said...

Salam, kenapa tak boikot je Maxis?