Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bersama beberapa aktivis mahasiswa Universiti Malaya telah bertemu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Saifuddin Abdullah dalam satu majlis serahan Memorandum membantah tindakan tatatertib Universiti Malaya terhadap lapan aktivis mahasiswa.
Serahan memorandum berkenaan adalah bertujuan untuk membela beberapa aktivis mahasiswa yang dikenakan tindakan oleh pihak Universiti ekoran dari penganjuran program yang melibatkan pemimpin politik dari parti pembangkang.
Dua dari lapan aktivis dituduh telah menganjurkan aktiviti yang melibatkan pemimpin pembangkang apabila pada 16 Mac 2009, YB Nik Nazmi telah dikatakan menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung PMIUM di Universiti Malaya.
Manakala enam aktivis dari PBCUM pula dituduh mengundang exco kanan kerajaan negeri Selangor, YB Teresa Kok dan ahli jawatankuasa pusat MCA Wong Nai Chee untuk mengadili satu program debat yang dianjurkan sekitar bulan September lalu.
Dua program yang dianjurkan di dalam universiti tersebut dikatakan bercanggah dengan beberapa peraturan dan kaedah tatatertib yang ditetapkan Universiti Malaya yang menyebabkan mereka terpaksa berhadapan dengan tindakan prosiding Universiti.
Walau bagaimanapun, PKPIM beranggapan bahawa tindakan yang diambil oleh pihak Universiti Malaya tersebut adalah bercanggah dengan "spirit" pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2008 yang memberi ruang yang bebas kepada mahasiswa untuk berpatisipasi dalam suasana yang lebih meluas dan terbuka.
Dalam pada itu, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dalam akhbar Berita Harian pada Julai 2008, beliau menyatakan bahawa pemimpin parti politik, termasuk pembangkang dibenarkan untuk memberi ceramah kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) apabila Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU diluluskan.
Beliau turut menjelaskan bahawa mereka dibenarkan berbuat demikian dengan syarat memberi ceramah mengenai isu yang ada kaitan dengan pengajian dan akademik mahasiswa.
Di samping itu, dalam satu sidang media ringkas, Dato’ Saifuddin Abdullah yang mewakili Kementerian Pengajian Tinggi memberi jaminan untuk membuat kajian terperinci berkenaan dengan kes tersebut. Selain itu, beliau juga berjanji akan menasihati UM supaya "mengikut semangat pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)" dalam mengadili kes melibatkan pelajar-pelajar berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak PKPIM amat menghargai kesudian Dato’ Saifuddin untuk bertemu dengan mahasiswa bagi menyelesaikan kes ini bersama-sama. Pemimpin mahasiswa yang terlibat dalam pertemuan tersebut termasuklah Presiden PKPIM Muhammad Faisal Abdul Aziz, Setiausaha Agung Khairul Anuar Musa, Pengerusi SMM Shazni Munir, dan beberapa pimpinan lain.
Monday, October 19, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment