Wednesday, October 7, 2009

PKPIM LANCAR TABUNG KEMANUSIAAN

http://1.bp.blogspot.com/_N69jaTBB_W8/SsnAPFv9tUI/AAAAAAAAAc8/bd-5RXPec-E/s400/IMG_2859.JPG
5 Oktober: Susulan dari malapetaka yang melanda umat Islam di negara jiran, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam malaysia (PKPIM) telah melancarkan Tabung Kemanusiaan Ummat (Misi Pemulihan Padang) untuk membantu meringankan bebanan yang ditanggung keluarga mangsa.

Pada 30 September lalu, gempa bumi yang berukuran 7.6 Skala Richter telah melanda Pariaman, Padang yang telah mengakibatkan kerosakan teruk kepada harta benda serta meragut ratusan nyawa dengan angka terkini seramai 603 telah disahkan terkorban oleh Badan Menangani Bencana Sumatera Barat, Indonesia.

Dalam pada itu, dua Gempa susulan awal pagi ini yang dicatatkan di Papua Barat dengan kekuatan 6.1 Skala Richter pada pukul 10.36 pagi waktu Indonesia Barat dan di Gorontalo, Sulawesi berukuran 5.3 Skala Richter juga telah memburukkan lagi keadaan.

Tabung Kemanusiaan Ummat ini bertujuan mengumpulkan dana yang secukupnya bagi menyediakan keperluan asas khususnya kepada mangsa di kawasan sekitar Pariaman yang masih terpinggir dari mendapat bantuan.

Tabung yang telah dilancarkan ini juga akan digerakkan di semua Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) dan sekolah-sekolah di Malaysia. Maka, PKPIM berharap agar kempen kutipan bantuan kewangan ini akan mendapat sokongan penuh daripada semua mahasiswa dan pelajar.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM dengan kerjasama Global Peace Mission (GPM) turut menghantar tiga orang sukarelawan bagi menjayakan misi pertama ke Padang awal pagi ini. Misi pertama ini akan memberi fokus kepada bantuan perubatan dan sokongan hidup mangsa gempa.

Bagi memastikan kelangsungan bantuan, PKPIM turut bekerjasama dengan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) dan Himpunan Mahasiswa Islam Indonesia (HMI) bagi merangka dan mengemaskini bentuk bantuan yang sewajarnya diberikan.

Sementara itu, PKPIM yang turut menganggotai Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) telah menggesa badan induk itu untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan pelan pembangunan pasca tragedi.

“HIDUP BIAR BERJASA”

No comments: